UMK, KNKV GROUP SDN. BHD. DAN MUSLIM INSIDERS METERAI MOU JALIN KERJASAMA BAGI PROGRAM KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

KOTA BHARU 13 Mac 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama KNKV Group Sdn. Bhd. dan Muslim Insiders bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan dan kebolehpasaran graduan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group Sdn. Bhd., Prof. Adjung Hj. Adam Richman serta Timbalan Presiden Muslim Insider, En. Mohd Zulhisham Mohamed Zulkarnain, di Ignite Venture Lab, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Ketua Pegawai Operasi (COO) KNKV Group, Pn. Hajjah Sakinah Abdul Rahman dan Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah, Menjalankan Fungsi Dekan Fakulti Keusahawanan Dan Perniagaan.

Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, kerjasama UMK KNKV Group Sdn. Bhd. dan Muslim Insiders bagi membuka peluang lebih luas kepada para pelajar dan penyelidik UMK.

Katanya, KNKV Group adalah sebuah syarikat yang komited dalam memperkasakan perniagaan melalui pelbagai perkhidmatan komprehensif seperti strategi pengiklanan dan pemasaran inovatif dalam meningkatkan keterlihatan jenama serta penglibatan pelanggan.

“KNKV Group Sdn Bhd terlibat dalam pengurusan acara serta penerbitan filem, video dan program televisyen dengan menyampaikan kandungan berkualiti yang memberi impak kepada audiens.

“Selain itu, turut menawarkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang sekaligus membantu individu dan organisasi untuk mencapai potensi penuh mereka,” katanya.

Tambah beliau, Muslim Insiders merupakan sebuah organisasi yang berkembang pesat dalam memperkasakan nilai-nilai ekonomi dan komuniti Muslim.

“Ia memberi inspirasi kepada usahawan muslim dengan menyampaikan maklumat serta pandangan mengenai amalan perniagaan berlandaskan prinsip Islam,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Adjung Hj. Adam Richman berkata, kerjasama ini akan memberi pendedahan kepada pelajar UMK mengenai industri pengiklanan, pemasaran digital, pengurusan acara, serta penerbitan media seperti filem dan program televisyen.

Katanya, pihaknya turut menawarkan peluang latihan industri dan bimbingan profesional kepada pelajar.

“Manakala, Muslim Insiders memberi sokongan kepada usahawan Muslim dengan berkongsi maklumat perniagaan, kisah kejayaan, serta mengiktiraf syarikat Muslim yang cemerlang melalui majlis anugerah dan program keusahawanan.

“Dengan termeterainya MoU ini, UMK, KNKV Sdn Bhd. Group dan Muslim Insiders bertekad untuk membawa impak yang lebih besar dalam pendidikan, industri kreatif, dan pembangunan keusahawanan Muslim,” katanya.

Menurut Dr. Shah Iskandar Fahmie, kolaborasi ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar dan tenaga akademik UMK, malah akan memperkukuh daya saing KNKV Group Sdn. Bhd. dan Muslim Insiders dalam menerajui bidang industri masing-masing.

Beliau berharap, kerjasama ini dapat membuka peluang lebih luas kepada para pelajar dan penyelidik UMK dalam mendapatkan pendedahan industri, latihan praktikal, serta pemindahan ilmu dan teknologi yang relevan dengan keperluan pasaran semasa.