HARI KELUARGA WARGA FAKULTI KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN 2020-2022

20 Ogos 2022, Kampus Kota, Universiti Malaysia Kelantan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan telah menganjurkan Hari Keluarga Warga FKP 2020 - 2022 bertempat di perkarangan Tamu Waris, UMK Kampus Bachok bermula jam 8:00 pagi dan tamat dengan jayanya sekitar jam 2:00 petang. Program Hari Keluarga ini adalah program yang julung-julung kali diadakan melibatkan semua staf pentadbiran dan staf akademik termasuk dengan ahli keluarga setelah dunia dilanda Pandemik Covid-19. Selain itu, tema yang diperkenalkan buat pertama kali bagi program hari keluarga ini ialah ”Kebersamaan Warga FKP Tonggak Kejayaan UMK”. Hari keluarga yang diadakan ini merupakan salah satu aktiviti bagi mengeratkan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan sesama keluarga. Ini kerana institusi keluarga adalah saluran asas dalam pembentukan sikap, nilai murni, dan integriti seseorang individu, dalam melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, dinamik dan holistik. Program ini dianjurkan kerana masih ramai dalam kalangan staf pentadbiran dan staf akademik yang tidak mengenali antara satu sama lain. Keadaan ini boleh menimbulkan jurang antara mereka dalam mengendalikan tugasan hakiki masing-masing. Program ini telah mendapat maklum balas kehadiran seramai 51 orang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran serta lebih 100 orang bilangan peserta termasuk ahli keluarga. Sebanyak 5 aktiviti permainan telah dirancang yang melibatkan 5 kumpulan staf dan ahli keluarga iaitu 10 orang setiap kumpulan. Di samping itu, sebanyak 5 kumpulan terdiri daripada 5 orang kanak-kanak setiap kumpulan telah menyertai 5 aktiviti sukaneka yang telah dirancang. Melalui program Hari Keluarga ini, para peserta yang terlibat dipercayai mempunyai peluang untuk saling mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga fakulti termasuk ahli keluarga. Ia secara langsung telah membentuk semangat bekerjasama dalam kalangan warga FKP bagi merealisasikan misi dan visi FKP, khususnya UMK. Program ini juga telah menerapkan rasa tanggungjawab, boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran dan dapat melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan dedikasi. Seterusnya, ia menyemarakkan semangat kerjasama, berpaduan, hormat-menghormati dan menanam nilai-nilai murni melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Program ini juga telah mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan di kalangan ahli keluarga warga FKP sekaligus dapat memantapkan lagi institusi kekeluargaan yang sedia ada di UMK.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah menjayakan Program Hari Keluarga Warga FKP 2020 – 2022.